Falsafah Universiti
Falsafah IIUM adalah berasaskan kepercayaan kepada menuntut ilmu merupakan satu ‘ibādah yang berterusan dan amanah yang diwajibkan oleh Allah (SWT) ke atas manusia. Ilmu yang peroleh seharusnya memandu manusia kepada pengiktirafan Allah (SWT) sebagai Pencipta Mutlak dan Tuhan Semesta Alam. Pengiktirafan secara menyeluruh dan
tanpa kompromi terhadap Allah (SWT) sebagai “Tuhan yang menguasai Alam (Rabb al- ālamīn) adalah taraf tertinggi dalam hierarki ilmu”. Falsafah ini adalah berdasarkan kepada lima ayat pertama Sūrat al-‘Alaq, surah ke 96 di dalam Al-Qur’an dan dimasukkan ke dalam Perlembagaan IIUM.
Bacalah! Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan! Ia menciptakan manusia dari segumpal darah beku! Bacalah! Dan Tuhanmu yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
Kelima-lima ayat ini menekankan bahawa ilmu pengetahuan hendaklah diperolehi, dihayati dan disebarkan atas nama Allah (SWT) dan ilmu pengetahuan ini hendaklah diperolehi secara mempelajarinya menggunakan akal dan ilmu wahyu. Ilmu yang berasaskan gabungan harmoni ilmu wahyu dan akal sudah pasti akan mengangkat manusia kepada kedudukan yang tinggi dan dihormati. Ilmu yang diperolehi hanya berpandukan akal tanpa bimbingan wahyu adalah tidak lengkap dan pastinya tidak memberi keuntungan kepada manusia.