الأخبار

الأخبار

Prof Emeritus Dr Osman terima Anugerah Antarabangsa Farabi ke-13

Prof Emeritus Dr Osman terima Anugerah Antarabangsa Farabi ke-13

التاريخ : 14 December 2022

المحرر : ISTAC Web

الفئة : News


Share

Prof Emeritus Dr Osman Bakar (dua dari kanan) menerima Anugerah Antarabangsa Farabi ke-13 daripada wakil Kedutaan Republik Islam Iran di Malaysia di ISTAC-IIUM, hari ini.

Prof Emeritus Dr Osman terima Anugerah Antarabangsa Farabi ke-13

Fadhilah Mazlan - Disember 8, 2022 @ 7:00pm bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Penyandang Kursi Al-Ghazali dalam bidang pemikiran Islam di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM), Prof Emeritus Dr Osman Bakar dipilih menerima Anugerah Antarabangsa Farabi ke-13.

Anugerah berkenaan daripada Kementerian Sains, Penyelidikan dan Teknologi Iran diberikan kepada tokoh akademik dan Felo Akademi Profesor Malaysia (APM) oleh Kedutaan Republik Islam Iran pada majlis di ISTAC-IIUM, di sini hari ini.

Ia yang dianugerahkan bagi menghargai sumbangan beliau dalam pembangunan kemanusiaan Islam adalah anugerah tahunan diperkenalkan kementerian berkenaan sejak 2007 dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Anugerah itu juga mendapat kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Islam (ISESCO) serta beberapa pusat penyelidikan dan saintifik tempatan di Iran.

Pengerusi Sekretariat Farabi International Award (FIA) Kementerian Sains, Penyelidikan dan Teknologi, Reza Gholami, berkata Osman adalah pengarang dan penyunting 42 buku serta banyak artikel mengenai pelbagai aspek pemikiran dan tamadun Islam, khususnya sains dan falsafah Islam.

"Beliau adalah rujukan terkemuka, juga profesor emeritus dalam Falsafah Sains di Universiti Malaya dan sudah dinamakan antara 500 individu Islam paling berpengaruh di dunia sejak 2009.

"Beliau juga Felo Akademi Sains Malaysia yang berprestij, Felo Kehormat APM dan Felo Kehormat Institut Kepimpinan Strategik Tun Ghazali Shafie, Kolej Universiti Yayasan Pahang," katanya dalam kenyataan.

Osman mempunyai ijazah kedoktoran dalam falsafah Islam dari Temple University, Philadelphia, Amerika Syarikat, pernah menjadi Profesor Terhormat dan Pengarah Pusat Pengajian Islam Sultan Omar Ali Saifuddien (SOASCIS), Universiti Brunei Darussalam.

Selain itu, sebagai berkhidmat bagi Pusat Kefahaman Muslim-Kristian Putera Talal al-Waleed, Universiti Georgetown di Washington, AS dan sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Penyelidikan Universiti Malaya (UM).

Buku beliau yang paling terkenal ialah Klasifikasi Ilmu Dalam Islam (1992) dan Tauhid dan Sains (1992), manakala edisi karya terbaharu seperti 'Al-Farabi: Life,Works and Significance' (2018); Kolonialisme di Kepulauan Melayu: Pertemuan Tamadun (2020) dan Kebijaksanaan Alam Sekitar untuk Planet Bumi: Warisan Islam (2022).

Tulisannya sudah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa, termasuk bahasa Arab, Turki, Parsi, Cina, Bosnia, Urdu, Benggali dan Sepanyol.

Osman juga berkhidmat sebagai ahli beberapa jawatankuasa penasihat dan lembaga pengarah di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pengalaman beliau berkhidmat sebagai profesor di universiti utama Asia Tenggara dan Amerika Utara menjayakan kerjaya keilmuannya. Beliau menyampaikan banyak ucap tama dan ucapan pleno di lebih 40 negara.