الأخبار

الأخبار

IPT sudah bersedia

IPT sudah bersedia

التاريخ : 14 July 2020

المحرر : Roslan Bin Rusly

الفئة : News


Share

Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

BERIKUTAN situasi semasa Covid-19 di Malaysia yang semakin terkawal dan beransur pulih, empat lagi kategori penuntut dibenarkan kembali ke kampus bagi meneruskan pembelajaran secara berperingkat mulai Julai dan sepenuhnya pada Oktober akan datang.

Selain itu, institusi pengajian tinggi (IPT) juga diberi fleksibiliti dalam menentukan mod pembelajaran yang bersesuaian termasuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian kepada pelajar yang terbabit dalam mengikut keperluan program masing-masing.

Pengumuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu disambut baik pihak universiti awam dan swasta.

Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dzulkifli Abdul Razak berkata, pihaknya bersyukur dengan pengumuman KPT yang membenarkan empat lagi kategori pelajar kembali ke kampus dan meneruskan pembelajaran seperti biasa dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, pihak universiti juga sudah melakukan persediaan rapi sejak awal berserta SOP yang dikelola Majlis Sejahtera UIAM dan dipengerusikan sendiri olehnya.

"Buat masa ini, penuntut akan kembali ke kampus secara berperingkat sebagaimana yang diumumkan KPT. Namun kehadiran mereka untuk pembelajaran berkualiti, saksama dan adil wajar menjadi panduan dalam membuat keputusan yang bijak.

SUASANA pembelajaran baharu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
SUASANA pembelajaran baharu di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

"Kita juga akan memastikan penjarakan fizikal penting dipatuhi sepenuhnya dalam keadaan semasa di samping memakai pelitup muka hanya di kawasan tertutup atau pengudaraan tidak baik.

"Bagaimanapun, jika ia tidak dapat dipatuhi serentak maka pilihannya adalah untuk mengadakan kelas ulangan dengan kualiti, kesaksamaan dan keadilan dipergadaikan sebagai tanda aras," katanya.

"UIAM juga membuat persediaan dengan penjadualan 50:50 mengikut keperluan semasa bergantung kepada faktor tempat dan keselesaan pembelajaran baik bersemuka mahu pun dalam talian bagi meneliti kualiti, kesaksamaan serta keadilan," tambahnya.

Dzulkifli berkata, perkara yang membuatkannya teruja ialah apabila penuntut baharu dan antarabangsa yang dibenarkan kembali ke kampus.

"Di UIAM, bilangan penuntut asing seramai 7,000 dari lebih 100 negara dengan pelbagai isu yang perlu ditangani.

"Jadi, kami akan berusaha dan bekerjasama rapat dengan pihak Education Malaysia Global Services untuk memastikan penuntut tidak menghadapi kesukaran dalam menguruskan kemasukan mereka ke negara ini," katanya.

Selain mendaftar dengan pihak Education Malaysia Global Services sebelum dibenarkan masuk Malaysia, penuntut antarabangsa ini juga perlu menjalani ujian tindak balas berantai polimerase (PCR) atau ujian pantas antigen dalam tempoh tiga hari sebelum masuk.

Mereka juga dikehendaki menjalani saringan kesihatan oleh Kementerian Kesihatan di pintu masuk negara dan seterusnya menjalani kuarantin diri selama 14 hari di lokasi yang akan ditetapkan IPT masing-masing.

PEMBELAJARAN secara atas talian tetap diteruskan sehingga hujung tahun ini.
PEMBELAJARAN secara atas talian tetap diteruskan sehingga hujung tahun ini.

Mengulas mengenai pelaksanaan normal baharu khusus untuk kakitangan dan pelajarnya, kata Dzulkifli, hanya dari segi penyampaian seperti teknologi sahaja di samping mewajibkan semua penuntut memuat turun aplikasi myTrace atau MySejahtera bagi memantau pergerakan penuntut keluar masuk dan lokasi mereka.

"Selainnya, kita mengikut lunas agama Islam dan budaya setempat yang mampu membawa kesejahteraan ummah keseluruhannya.

"Ini termasuk soal kesepaduan sosial (bukan penjarakan sosial) dalam menggembleng tenaga, sumber serta usaha sama. Malah ini juga adalah sebahagian pendidikan beradab dan berakhlaq di UIAM," katanya.

Selain UIAM, Universiti Putra Malaysia (UPM) juga sudah siap siaga menerima kemasukan penuntut ke kampus sepenuhnya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata, UPM sedang merancang persiapan rapi bagi pembukaan kampus sepenuhnya dengan mempermudah urusan kepulangan pelajar ke kampus, khususnya mereka yang berasal daripada keluarga B40 dan asnaf selain akan menyediakan penginapan penuntut sama ada dalam dan luar kampus.

Katanya, pihak UPM turut menyokong langkah KPT pembukaan kampus sepenuhnya kerana sudah tiba masanya proses pembelajaran dan pengajaran diteruskan seperti biasa dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Walaupun pembelajaran maya akan diteruskan sehingga hujung tahun ini, kemasukan pelajar sepenuhnya pada Oktober nanti diharap akan dapat meneruskan pembelajaran bersemuka selain kegiatan ko-kurikulum yang sangat penting sebagai interaksi sosial pelajar untuk melahirkan graduan yang holistik.

"Kepentingan dan kewajaran pembelajaraan maya, pembelajaran bersemuka pastinya memberikan pengalaman pembelajaran be

rbeza apabila berlaku interaksi pelajar dengan pensyarah secara langsung," katanya dalam kenyataan dikeluarkan baru-baru ini.

Sementara itu, Exco Perhubungan Awam dan Advokasi Kesatuan Pelajar UIAM Muhammad Amin Mubarak Mohd Junid berkata, walaupun kini sudah ada ratusan pelajar yang pulang ke kampus secara berperingkat, keadaan tetap terkawal.

Katanya, selain mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kesatuan pelajar dan pentadbiran universiti juga menyediakan SOP yang bersesuaian terutama dalam penggunaan kemudahan di kampus.

"Keadaan sekeliling sudah kembali seperti biasa tetapi untuk menggunakan kemudahan kampus,

kita mewajibkan pelajar mengikuti SOP yang disediakan seperti membuat slot penyertaan untuk berenang di mana satu sesi pelajar hanya dibenarkan selama 45 minit dengan maksimum 10 individu atau memasuki perpustakaan.

"Kita juga akan terus memupuk kesedaran dan menyarankan penuntut untuk menggunakan aplikasi MyTrace, MySejahtera dan Selangkah terutama jika mereka keluar dari kawasan kampus sekali gus memudahkan urusan komuniti setempat dan kerajaan memantau dan mengambil tindakan jika ada sebarang jangkitan berlaku," katanya.

Kesatuan penuntut juga sentiasa mendekati golongan itu bagi mengetahui permasalahan yang dihadapi dan akan berbincang dengan pentadbiran universiti dalam menghadapi isu mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 7:00 AM

Source: https://www.hmetro.com.my/akad...